Impak teknologi lejar teragih ke atas industri adalah begitu besar. Dengan memiliki potensi tidak terbatas, teknologi in telah mengubah proses global. Disebabkan terdapat pembangunan berterusan, pengguna dan perniagaan sedang mencari cara kreatif untuk mengambil peluang terhadap kemampuan teknologi ini untuk pelbagai tujuan.
Contoh utama untuk potensi transformatif blockchain adalah peranannya dalam membuatkan transaksi rentas sempadan lebih selamat dan ringkas. Teknologi ini tidak hanya akan meningkatkan keberkesanan operasi, malah ia juga menambah kepuasan pelanggan. Kualiti tersebut membuatkan teknologi ini sebagai aset berharga bagi perniagaan yang ingin lebih kehadapan dalam landskap kompetitif pada hari ini.
Artikel ini akan menerangkan apa itupembayaran rentas sempadan blokchain cara ia berfungsi, apakah manfaat yang ditawarkan oleh teknologi blockchain dan apakah jenis pembayaran rentas sempadan blockchain yang ada pada hari ini.
Isi Penting
- Teknologi blockchain boleh mengimbangi kelemahan yang dimiliki oleh sistem pembayaran tradisional dalam transaksi antarabangsa. Keadaan ini membuka lebih banyak peluang perniagaan.
- Transaksi kripto antarabangsa mempunyai kos lebih rendah, kelajuan pemprosesan lebih pantas, dan ketersampaian lokasi yang lebih meluas dan keselamatan lebih tinggi.
Apa Itu Pembayaran Rentas Sempadan Blockchain?
Teknologi blockchain dan kewangan tidak berpusat (DeFi) yang semakin berkembang membuatkan pembayaran rentas sempadan semakin diperlukan dalam ekosistem Web3. Ini kerana lebih banyak individu dan organisasi yang ingin terlibat dalam transaksi aset digital.
Suatu ketika dahulu, pembayaran rentas sempadan kripto diuruskan oleh bank dan pihak berkuasa kewangan. Ia memlibatkan beberapa pihak pengantara yang rumit seperti bank dan gedung penjelasan (clearing house). Namun, proses yang kompleks ini menyebabkan fi transaksi yang tinggi dikenakan, tempoh pemprosesan yang panjang, dan ketelusan yang rendah dalam sistem pembayaran.
Sebaliknya, pembayaran rentas sempadan blockchain bertujuan untuk merevolusikan landskap pembayaran dengan menghapuskan penglibatan pihak pengantara, mengurangkan kos transaksi, dan meningkatkan kelajuan transaksi dan keselamatan.
Pada hari ini, penyelesaian pembayaran yang inovatif ini menyediakan pembayaran lebih pantas untuk pembayaran dan penyelesaian (settlement) perniagaan ke perniagaan (B2B) dan rakan ke rakan (P2P). Hasilnya, pembayaran rentas sempadan blockchain membentuk semula dunia pindahan dan penyelesaian wang, dengan kefungsian lebih menarik untuk teknologi blockchain.
Teknologi blockchain berpotensi untuk menyelaraskan dan meningkatkan pembayaran rentas sempadan. Ia dijangka mengubah bagaimana cara kita melakukan transaksi antarabangsa.
Bagaimana Pembayaran Rentas Sempadan Berfungsi Melalui Blockchain?
Ahli rangkaian blockchain atau smart contract akan melaksanakan pembayaran rentas sempadan secara automatik, apabila syarat-syarat tertentu telah dipenuhi. Kemudian, transaksi ini akan dihantar ke nod rangkaian P2P yang akan mengesahkan transaksi tersebut menggunakan protokol konsensus yang telah dipilih.
Permissioned blockchain biasanya digunakan oleh perbankan tradisional, institusi kewangan, dan perniagaan besar untuk pindahan bernilai tinggi. Hanya pengguna yang dipercayai dan memiliki hak istimewa dapat mengakses dan mengesahkan pembayaran.
Sementara itu, permissionless blockchain lebih banyak digunakan oleh syarikat fintech dan SME untuk transaksi B2B dan C2B yang lebih rendah nilainya. Ini disebabkan blockchain jenis ini memudahkan pengguna mengakses wang dan membuatkan pembayaran lebih jelas.
Sebaik sahaja telah disahkan, data berkaitan pembayaran akan disulitkan menggunakan fungsi hash dan disimpan dalam blok yang dicap masa (timestamped) yang dipautkan mengikut kronologi. Blok ini akan menghasilkan satu lejar yang tidak boleh diubah. Lejar tersebut berperanan sebagai sumber kebenaran tunggal untuk menjejak aktiviti pembayaran.
Individu, perniagaan dan penyedia perkhidmatan bboleh menggunakan laman web yang mempunyai peranan khusus dan aplikasi mudah alih untuk mengirim, menerima dan menjejaki pembayaran pada blockchain. Setiap peserta akan menyimpan salinan lejar teragih yang terkini. Ini dapat memastikan proses pembayaran yang terbuka dan telus.
Apakah Manfaat yang Ditawarkan oleh Pembayaran Rentas Sempadan Berasaskan Blockchain?
Disebabkan oleh kemajuan dalam teknologi dan populariti sistem blockchain dan mata wang kripto yang semakin meningkat, orang ramai mencari cara yang lebih mudah dan murah untuk menghantar wang ke luar negara. Teknologi baru ini memiliki beberapa manfaat, antaranya adalah:
1. Penyelesaian Pantas
Dengan keberkesanan sistem pembayaran rangkaian blockchain, pembayaran rentas sempadan kini boleh dilakukan dengan lebih cepat tanpa penglibatan pihak pengantara seperti bank atau pemproses pembayaran..
Inovasi baru ini memastikan pembayaran diproses dengan cepat, iaitu dalam hanya beberapa minit berbanding memakan masa beberapa hari. Selain itu, teknologi ini juga membolehkan penghantar dan penerima menghantar wang antara satu sama lain, tidak memerlukan orang tengah dan memperkemaskan lagi proses pembayaran.
2. Mengurangkan Fi
Kaedah pembayaran tradisional biasanya akan mengenakan fi yang tinggi, jadi pembayaran rentas sempadan boleh melibatkan kos yang tinggi. Namun, penggunaan teknologi blockchain dapat mengurangkan kos yang terlibat dengan pembayaran tersebut dengan ketara. Faktor utama keadaan ini adalah disebabkan ketiadaan pihak pengantara dalam transaksi blockchain, di mana kos pemprosesan bayaran menjadi rendah.
3. Ketelusan Lebih Tinggi
Teknologi blockchain menawarkan lejar yang telus dan tidak boleh diubah untuk setiap transaksi. Ini dapat memastikan penghantar dan penerima boleh memantau aktiviti pembayaran dan mengesahkan kesahan transaksi tersebut. Tahap ketelusan yang dimiliki oleh teknologi blockchain memainkan peranan penting dalam meminimumkan kebarangkalian berlakunya penipuan, seterusnya menyuntik keyakinan terhadap sistem pembayaran tersebut.
4. Dimensi Global
Sifat teknologi blockchain yang tidak berpusat membolehkan teknologi ini beroperasi di mana-mana negara atau kawasan. Ciri-ciri unik ini membuatkan ia sebagai pilihan yang optimum bagi memudahkan pembayaran global berasaskan blockchain. Selain itu, ia juga tidak melibatkan transaksi tukaran mata wang asing yang rumit.
5. Aspek Keselamatan yang Ditambah Baik
Sistem pembayaran tradisional yang memiliki proses yang rumit dan kos transaksi tinggi, biasanya menjadi halangan untuk syarikat yang ingin meluaskan perniagaan ke pasaran baru. Terdapat kemungkinan bahawa lokasi pasaran baru terletak begitu jauh, mempunyai rangka kerja undang-undang berbeza, atau memerlukan akses terhadap perkhidmatan perbankan tradisional.
Namun, teknologi blockchain telah membuka jalan untuk syarikat yang ingin mengatasi halangan tersebut dan mula memasuki segmen pelanggan yang sebelum ini tidak boleh diakses.
Apakah Jenis Pembayaran Rentas Sempadan Blockchain yang Ada?
Ketika menggunakan teknologi blockchain untuk membuat pembayaran antarabangsa, anda mungkin akan mendapati terdapat beberapa jenis pembayaran rentas sempadan yang anda. Setiap satunya mempunyai ciri-ciri tersendiri dan mempunyai kelebihan tertentu kepada perniagaan, berbanding menggunakan kaedah tradisional. Berikut adalah jenis-jenis pembayaran rentas sempadan berasaskan blockchain yang utama:
1. Pembayaran Berasaskan Stablecoin
Stablecoin merupakan mata wang digital yang mempunyai nilai yang tetap mengikut nilai mata wang fiat tertentu. Stablecoin boleh digunakan untuk memudahkan lagi pembayaran rentas sempadan, kerana ia menyediakan cara yang boleh dipercayai dan berkesan untuk transaksi melibatkan pelbagai negara dan mata wang.
Dengan mengikat nilai stablecoin pada mata wang fiat, ia boleh menawarkan kestabilan dan mengurangkan ketidakstabilan (volatility) yang sering kali dikaitkan dengan mata wang kripto tradisional. Pendekatan inovatif ini membolehkan transaksi rentas sempadan yang selamat dan lancar, seterusnya memberi bermanfaat kepada individu dan perniagaan.
2. Pembayarn Kripto ke Kripto
Pembayaran kripto ke kripto merupakan kaedah inovatif untuk individu dan syarikat yang ingin beroperasi di peringkat global tanpa menggunakan mata wang tradisional fiat. Dengan menggunakan mata wang digital seperti Bitcoin, Ethereum, atau Litecoin, pengguna boleh membeli barang atau melakukan transaksi di negara lain dengan mudah, tanpa perlu memikirkan tentang kerumitan menukar wang ke mata wang tempatan.
3. Kiriman Wang (Remittance) Berasaskan Blockchain
Perkhidmatan kiriman wang yang menggunakan teknologi blockchain memudahkan pengguna mengirim wang ke luar negara. Perkhidmatan tersebut menggunakan teknologi lejar teragih bagi memudahkan individu dan syarikat menjalankan melakukan transaksi terus antara satu sama lain, berbanding menggunakan pihak pengantara konvensional seperti bank dan operator pindahan wang.
4. Pembayaran Blockchain Antara Bank
Potensi teknologi blockchain dapat dilihat dari aspek blockchain antara bank (interbank). Ia menawarkan jejak audit dan mekanisme konsensus yang tidak dapat disediakan oleh pangkalan data tradisional. Dengan menggunakan teknologi ini, institusi kewangan boleh mempercepatkan dan memudahkan pembayaran rentas sempadan. Hasilnya, lebih banyak kos dapat dijimat dan tahap ketelusan yang lebih tinggi dapat dinikmati oleh semua pihak yang terlibat.
5. Mata Wang Digital Bank Pusat (CBDC)
Untuk menggalakkan transaksi pembayaran rentas sempadan, CBDC merupakan sasaran polisi utama untuk bank pusat, terutamanya untuk negara membangun dan berpendapatan rendah. Dengan menghapuskan halangan yang membuatkan orang ramai sukar menggunakan bank, CBDC yang direka dengan baik dapat menarik orang ramai yang ketika ini bukan menjadi sebahagian daripada sistem kewangan formal, iaitu membolehkan mereka menggunakan pembayaran digital.
CBDC boleh membantu individu mendapat akses lebih meluas terhadap perkhidmatan kewangan. Ciri-ciri unik CBDC, seperti bebas risiko, penerimaan melas sebagai mata wang digital, ketersediaan untuk transaksi antarabangsa luar talian (offline), dan berpotensi untuk kos lebih rendah dan aksesibiliti yang lebih tinggi, kesemuanya menjadi faktor penyumbang manfaat bepotensi yang ditawarkan kepada perniagaan.
Adakah Pembayaran Rentas Sempadan Selamat?
Penggunaan lejar teragih untuk merekodkan transaksi dapat memastikan setiap peserta dalam rangkaian memiliki salinan lejar. Sebelum sebarang transaksi ditambah pada lejar, transaksi tersebut akan melalui proses pengesahan melalui mekanisme konsensus.
Proses yang ketat ini membuatkan sukar bagi seseorang untuk mengubah data atau transaksi yang direkodkan. Situasi ini dapat melindungi integriti sistem tersebut.
Selain daripada prinsip teras teknologi tersebut, kebanyakan sistem pembayaran berasakan blockchain juga menggunakan teknik penyulitan untuk melindungi data pengguna dan private key.
Key tersebut penting untuk mengakses dan memindahkan. Dengan menggunakan kaedah penyulitan, satu lapisan keselamatan dapat ditambah. Situasi ini akan menyukarkan lagi penggodam atau entiti berniat jahat yang cuba menceroboh ke dalam sistem dan mengakses maklumat sensitif tanpa kebenaran.
Namun begitu, harus diingat bahawa sama seperti mana-mana sistem pembayaran yang lain, sistem pembayaran berasaskan blockchain masih berisiko. Pengguna perlu melakukan langkah yang bersesuaian untuk melindungi aset mereka. Antara contoh langkah yang boleh diambil adalah melalui penggunaan kata laluan yang kuat, pengesahan dua faktor dan kaedah pengesahan multi-sig, dan menyimpan private key dengan selamat.
Dengan mengambil langkah berjaga-jaga sebegitu, pengguna boleh menambah perlindungan terhadap aset mereka dan risiko yang dimiliki oleh sistem pembayaran berasaskan blockchain dapat diminimumkan.
Jangkaan
Sektor pembayaran rentas sempadan berasaskan blokchain telah mengalami kemajuan ketara dalam industri pembayaran blockchain. Melalui kemampuan untuk menyediakan pembayaran lebih pantas, kos rendah dan keselamatan yang dipertingkatkan, teknologi blockchain berpotensi untuk mengubah sepenuhnya kaedah pemprosesan pembayaran dan pindahan dana antarabangsa yang digunakan oleh perniagaan.
Masa depan blockchain dalam pembayaran rentas sempadan dilihat agak cerah. Ini disebabkan faktor penerimaan entiti kewangan dan pelanggan yang semakin meluas, perkembangan undang-undang dan piawaian, dan pengenalan penyelesaian inovatif yang dapat menambah kelajuan dan kebolehskalaan. Seiring dengan perkembangan berterusan blockchain, ia dijangkakan dapat mengubah cara sektor perniagaan mengendalikan pembayaran dan memudahkan perniagaan beroperasi di peringkat global.